#Single

Ketahui Cara CPR Yang Betul. Anda Mungkin Menyelamatkan Nyawa!

There are 0 comments

No any comment found

Leave a Comment

Your Email address will not be published

Apakah CPR?

Maksud CPR ialah Cardio-Pulmonary Resuscitation yang merupakan kaedah pertolongan cemas berfungsi untuk mengembalikan pengaliran darah dan kadar oksigen yang mencukupi ke paru-paru, otak dan organ-organ penting yang lain. Prosedur ini merangkumi tekanan dada dan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut dan ianya sangat penting kerana boleh menyelamatkan nyawa seseorang. Melakukan CPR dengan kadar yang segera boleh meningkatkan peluang mangsa untuk hidup sehingga dua ke tiga kali ganda lebih tinggi.

Amatlah penting bagi setiap orang awam untuk mempunyai ilmu tentang CPR dan mengetahui teknik melakukannya sebagai langkah awal untuk menyelamatkan mangsa sementara menunggu kakitangan terlatih atau paramedik tiba di tempat kejadian. Prinsip pertolongan cemas adalah untuk menyelamatkan nyawa mangsa, mengurangkan kesakitan mangsa, dan mengelakkan daripada keadaan bertambah teruk.

Apa Yang Anda Perlu Pastikan Sebelum Melakukan CPR?

Sebelum melakukan CPR, penting untuk anda memastikan beberapa perkara terlebih dahulu, seperti:

1. Adakah Keadaan Sekeliling Selamat Untuk Melakukan CPR Kepada Mangsa? 

Seandainya mangsa ditemui di tengah jalan, dapatkan bantuan untuk memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat. Jika kelihatan mangsa mempunyai kecederaan atau khuatir ada tulang yang patah, adalah sebaiknya untuk tidak memindahkan mangsa kerana ini boleh mengakibatkan kecederaan yang lebih teruk.

2. Adakah Mangsa Dalam Keadaan Sedar, Separa Sedar Atau Tidak Sedar?

Perhatikan sama ada mangsa mempunyai tindak balas. Jika mangsa tidak sedar cuba untuk gerakkan mangsa atau tepuk di bahu dan panggil mangsa dengan kuat.

3. Adakah Mangsa Bernafas?

Anda boleh menilai dengan memerhatikan sama ada dada mangsa bergerak naik dan turun atau statik. Anda juga boleh mendekatkan telinga anda ke mulut dan hidung mangsa selama 10 saat untuk memastikan sama ada terdapat hembusan nafas ataupun tidak.

4. Periksa Denyutan Nadi Mangsa

Periksa nadi mangsa di bahagian pergelangan tangan dan tepi leher untuk memastikan degupan jantung mangsa.

5. Minta Bantuan

Jika anda melihat tiada pergerakan ataupun nafas mangsa terhenti, sila hubungi unit kecemasan (999) dengan kadar segera dan mulakan prosedur CPR terlebih dahulu sementara menunggu paramedik tiba. Sekiranya terdapat orang lain di sekeliling anda, arahkan orang lain untuk segera menghubungi talian kecemasan sementara anda memulakan CPR secepat mungkin.

Kaedah CPR Yang Betul

CPR merangkumi penilaian dan bantuan asas yang melibatkan:

1. Bukaan salur pernafasan.

2. Bantuan pernafasan.

3. Bantuan peredaran darah melalui tekanan dada.

4. Penggunaan Automated External Defibrillator (AED).

5. Pengurusan mangsa tercekik oleh benda asing

Bagi orang awam yang mempunyai kekangan untuk memberikan bantuan pernafasan ataupun tidak terlatih sepenuhnya berkenaan CPR, anda boleh melakukan teknik “Hands-only CPR”. Ia adalah alternatif CPR yang tidak melibatkan bantuan pernafasan. Kajian mendapati bahawa teknik ini berkesan sebagaimana CPR bersama bantuan pernafasan.

Siapakah Yang Boleh Melakukan CPR?

Sesiapa sahaja boleh belajar CPR - dan semua orang mesti ada pengetahuan ini. Kita haruslah mendidik masyarakat kita untuk sama-sama menyedari kepentingan CPR kerana bila-bila masa sahaja kita mungkin akan berhadapan dengan situasi kecemasan yang memerlukan CPR. Sangat disarankan untuk dalam setiap rumah atau mana mana tempat tinggal dan tempat kerja, ada sekurang-kurangnya seorang yang boleh melakukan CPR.

Bagaimanapun, sekiranya anda adalah;

  • Wanita mengandung yang berada dalam trimester yang terakhir, atau
  • Mempunyai masalah sakit belakang tangan dan lutut yang cedera,

Sebaiknya untuk anda tidak melakukan CPR kerana prosedur ini memerlukan tahap keupayaan fizikal yang kuat. Anda boleh membantu dengan mendapatkan bantuan talian kecemasan atau bantuan dari orang sekeliling.

Sebagai pemerhati atau saksi ketika mangsa pengsan dan tidak sedarkan diri, anda tidak perlu takut. Buangkan rasa panik tersebut kerana tindakan berani anda boleh membantu mangsa. Untuk menyelamatkan mangsa, apa yang penting ialah secepat mana CPR dimulakan. Semakin lewat kita membantu mangsa, semakin rendah peluang untuk mangsa kembali sedar.

Akhir kata, lakukanlah CPR walaupun hanya dengan menekan dada kerana ia mungkin dapat menyelamatkan nyawa seseorang.

Published by 

www.doctoroncall.com.my/health-centre/kesihatan-jantung/cara-cpr
SHARE #EarnMoreCoins